Sawi putih atau bak choi adalah sayuran jenis berdaun. Sayur berbatang lembut dan warna putih. Daun seakan bentuk sudu dan berwarna hijau manakala variati sawi putih kerinting pula daunnya mengeriting atau berombak-ombak. Sesuai ditanam pada batas mahupun pasu yang menggunakan tanah peroi sebagai media tanaman. Ramai mengemari sayur ini kerana struktur rasa yang lembut dan ranggup. Sawi putih adalah antara sayuran berdaun yang ditanam secara meluas di negara kita sama ada ditanam secara ladang atau kecil-kecilan. Berikut cara dan panduan ringkas yang boleh diikuti oleh pembaca untuk menanam sawi putih.

BENIH SAWI PUTIH

Berikut adalah cara menanam sawi putih mengikut pengalaman tanomkinotuan. Pertama sekali perlu membeli benih sawi putih di kedai pertanian berdekatan. Anda boleh mencuba menanam benih sawi putih atau benih sawi putih kerinting. Terpulang pada anda untuk memilih benih yang mana berkenan. Namun jika anda seorang beginner dalam bidang perkebunan di halaman rumah beli saja benih sawi putih di kedai pertanian dan semai. Harga 1 pek sawi putih biasanya RM 1 atau RM 2 mengikut kedai.

PEMILIHAN LOKASI

Pemilihan lokasi harus dipilih secara bijak di kawasan atau halaman rumah. Pilih lokasi yang menerima sinaran matahari penuh sekurang-kurangnya melebihi 6 jam. Lokasi-lokasi strategik seperti koridor rumah, tepi pagar, belakang rumah yang luas atau mengikut kedudukan rumah anda mana yang sesuai. Begitu juga bagi mereka yang ingin menanam sawi putih di dalam pasu. Letak pasu-pasu anda di kawasan menerima pancaran matahari penuh sekurang-kurangnya melebihi 6 jam.

SEMAIAN BENIH

Benih sawi harus disemai terlebih dahulu. Dua kaedah yang sering digunakan untuk menyemai iaitu semai pada bekas styorofoam, kontena atau pasu terlebih dahulu atau menyemai terus pada batas. Bagi semaian di dalam pasu gunakan kompos yang boleh dibeli di kedai berhampiran. Penuhkan kompos ke dalam pasu, kontena atau styorofoam dan taburkan benih di atasnya kecuali styorofoam, isikan satu lubang semaian styorofoam dengan sebiji atau 2 biji benih sawi putih. Apabila sawi putih sudah berusia 5 hingga 7 hari cabut benih sawi putih yang tidak elok, cacat dan terbantut. Kekalkan benih sawi putih yang baik, subur dan hijau. Selepas 2 hingga 3 minggu, anak benih sawi putih sudah boleh dialihkan ke batas atau pasu tanaman yang dipilih.

PENGEMBURAN TANAH

Ini adalah bagi mereka yang ingin menanam pokok sawi putih di tanah. Seeloknya buat batas dengan mencangkul tanah hingga gembur. Buang benda seperti akar, ranting, rumput, daun kering atau rumput kering. Kadang-kadang di halaman rumah terdapat pelbagai benda tinggalan seperti paku, tile, semen rumah, batu, zink dan besi. Kesemua yang disebutkan ini haruslah dialihkan atau dibuang di tempat lain. Bagi tanah yang pertama kali diurus bagi penanaman perlu dikapurkan dengan serbuk kapur pertanian. Tabur segenggam kapur pada saiz 5 kaki persegi pada batas dan gaul sebati. Tambah kompos dan tinja binatang dengan 4 genggam bagi 2 kaki persegi. Anda juga boleh menampah kompos kelapa sawit yang boleh didapati di kilangnya secara percuma. Kandungan minyak pada kompos kelapa sawit mempercepatkan pertumbuhan dan daunnya akan melebar dan cantik. Tambahan cocopeat atau peat moss juga disarankan bagi membaiki pengudaraan tanah dan serapan air dengan lebih baik lagi. Untuk supaya tanah tidak cepat padat (compact), tabur 1 sudu gypsum 7 hingga 10 kaki persegi pada batas dan gaul sebati. Cukup dengan kuantiti yang sedikit, jangan membubuh terlalu banyak menggunakan gypsum.

Bagi memilih menanam di dalam pasu pula sediakan media tanaman yakni 2 bahagian tanah hitam/lom, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai. Anda juga boleh menambah 1 bahagian peat moss atau cocopeat ke dalam media tanaman tadi. Untuk hasil yang baik, anda boleh tukarkan pasir sungai dengan perlite (abu volcano) yang boleh dibeli di pasaran berhampiran. Gaul kesemua media tersebut hingga sekata dan masukkan ke dalam pasu-pasu yang telah anda sediakan. Selain pasu anda juga boleh menggunakan bahan tanaman sesuai seperti polibag saiz besar, kontena, bekas besen terbuang dan sebagainya. Seboleh-bolehnya guna bekas tanaman yang tidak mengeluarkan kos tinggi.

PENDEDAHAN DAN PENYINARAN CAHAYA

Dedahkan tanah batas anda selama 1 minggu kepada cahaya terik agar mikrob jahat dapat dikurangkan atau dihapuskan. Mikrob jahat boleh membunuh tanaman anda.

PENGALIHAN DAN PENANAMAN

Setelah anak pokok sawi anda sudah berusia 2 hingga 3 minggu. Ia sesuai untuk dialihkan ke batas atau pasu. Bagi semaian dalam styorofoam anda haruslah menanam anak benih sawi putih bersama tanahnya sekali. Caranya. Masukkan alat pemegang kayu aiskirm ke dalam tanah dan cungkil perlahan-lahan. Jangan mencederakan akar benih sawi putih.

Terlebih dahulu, buat lubang sedalam 2 inci setengah hingga 3 inci dengan jarak antara lubang pula ialah 6 inci. Bagi semaian secara rawak, cabut anak benih sawi putih secara berhati-hati agar tidak merosakkan akarnya. Tanam ke dalam lubang yang disediakan dengan memasukkan setengah batangnya ke dalam tanah atau sehingga pada had daunnya yang pertama. Jangan benamkan daun walaupun daun yang pertama. Seeloknya daun harus terbuka dan tidak tertimbus. Ini supaya daun boleh terkena pancaran / haba matahari untuk proses fotosentesis bagi mempercepatkan lagi pertumbuhannya di tanah baharu. Tanam anak benih kesemuanya hingga selesai. Siram dengan air. Tutup dengan net atau jaring hitam untuk mengelak anak benih pojok sawi putih layu dan mati oleh sinaran cahaya terik.

Bagi pasu pula, sangat mudah di mana buat lubang di tengahnya dan tanam anak benih pokok sawi putih dengan membenamkan batangnya ke dalam tanah atau separuh batangnya. Bagi benih yang ditanam dalam styorofoam pula tanam bersama tanahnya sekali dengan lubang yang dibuat haruslah besar. Kambus dengan tanah dan siram dengan air yang mencukupi. Simpan pasu-pasu anda di tempat teduh dan selamat dalam tempoh seminggu. Barulah diletakkan ditempat atau lokasi yang dipilih iaitu kawasan mendapat cahaya matahari yang banyak.

PENYIRAMAN DAN PENJAGAAN

Pada usia 2 minggu selepas dialihkan, ia sangat memerlukan air yang banyak. Siram pokok sawi putih anda 2 kali sehari dan tidak perlu ketika hujan.

Lakukan aktiviti merumput pada batas untuk mengelak saingan untuk mendapatkan makanan. Untuk memudahkan kerja anda. Letak mulsa atau sungkupan pada batas agar kelembapan dapat dikekalkan dan rumput rumpai dapat dikawal. Mulsa seperti daun kering, rumput kering, jerami, lalang kering, cocopeat, tinja binatang, habuk kayu, reputan kayu, kompos, dan kertas yang dibasahkan adalah boleh digunakan ke atas batas anda.

JANGKITAN DAN KAWALAN

Pokok sawi putih mudah diserang penyakit dan makhluk perosak. Antara penyakit yang dilakukan oleh fungi, virus dan bakteria ialah reput akar, tompokan putih pada daun, penyakit batang dan layu serta penyakit busuk pada pucuk pokok. Jika terdapat serangan seperti ini jangan segan silu untuk mencabut dan musnahkan.

Serangan lintah bulan, siput dan belalang pada daun dan batang biasa berlaku kepada pokok sawi putih. Lintah bulan boleh memanjat dan memakan daun hingga ronggak. Begitu juga dengan siput dan belalang. Pungut lintah bulan dan siput serta musnahkan. Anda boleh membeli racun organik yang boleh menjauhkan sawi anda dari serangan belalang. Anda juga boleh mengatasi serangan makhluk perosak dengan menanam pokok allium / bebawang, basil, marigold francis dan selasih pada batas sayur anda. Kimia yang dikeluarkan oleh pokok-pokok di atas boleh mengelirukan serangga yang ingin menyerang tanaman.

TUAIAN HASIL

Setelah 4 minggu lebih sayuran anda sudah boleh dituai. Anda boleh mencabutnya atau hanya memetik daun dari bawah. Kaedah memetik daun boleh membekalkan dapur anda sehinggalah pokok sawi anda mengeluarkan kudup bunga. Jika mencabutnya dengan jumlah yang banyak, hanya bersihkan tanah dan buang daun buruk serta masukkan terus ke dalam plastik berjip atau plastik yang kering. Simpan ke dalam peti sejuk. Jangan sesekali mencucinya dengan air jika anda ingin menyimpannya lebih lama di dalam peti sejuk. Lebihan air pada pokok sawi putih anda boleh merosakkan sayur anda dalam beberapa hari. Lakukan penuaian tersebut pada sebelah petang di mana pokok sawi anda kering dari air embun, hujan atau air siraman. Jika ingin menggunakan sayur sawi putih pula, keluarkan sawi putih yang ingin dimasak dan cuci sebersih-bersihnya barulah dihiris dan dimasak.

Dan kini anda boleh menikmati sawi putih tanam sendiri dengan garapan resepi yang anda inginkan. Nikmati sawi tanam sendiri yang ranggup, sedikit manis dan betul-betul rasa sayur.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top