Sudah boleh dituai
Selepas 4 minggu ditanam di atas batas, sawi putih taiwan tanomkinotuan yang ditanam di Kebun Belakang Rumah (KBR) sudah boleh dituai dengan megahnya. Selepas bersusah payah menyemainya pada cup aiskrim yang disimpan di tepi jendala dapur yang hanya terkena sinaran matahari selama 4 jam setengah dan menyediakan batas yang perlu digembur hingga benar-benar menjadi ketulan-ketulan kecil sehinggalah ditanam pada batas kini selepas menunggu selama 4 minggu tanomkinotuan tersenyum kepuasan hasil tanaman sawi putih taiwan tumbuh galak dan cantik tanpa sebarang masalah.

Hujung minggu yang lalu, bila tanomkinotuan tiba di rumah dan menjenguk di KBR. Sawi putih taiwan tersebut masih dalam saiz sederhana. Walaupun masa itu saiznya sudah boleh dituai (sesetengah) namun tanonkinotuan menahan dahulu nafsu untuk memetiknya. Tanomkinotuan juga telah maklumkan kepada emak ketika itu dan arahan dipatuhi. Ini bertujuan agar tanomkinotuan boleh mengambil beberapa gambar untuk diposkan disini dan juga sebagai tanda kenang-kenangan malah sayuran lain seperti kangkung, kacang panjang galaxy dan timun masih menghasilkan buah yang banyak ketika itu.

Brokoli ungu
Kali ini serangan makhluk perosak tidak kelihatan. Tidak seperti tahun lepas. Sawi putih taiwan bukan sahaja diratah oleh apid dan belalang tetapi juga ulat seribu tumpang sekaki menyebabkan sawi putih taiwan berlubang-lubang dan tidak cantik. Sama kes dengan sawi bunga kampung yang baru sahaja dituai 2 minggu lepas langsung tidak dijamah oleh mana-mana makhluk perosak. Mungkin awal tahun menanam adalah tempoh yang amat sesuai bagi menanam sayuran. Buktinya, pokok kobis bunga dan brokoli ungu habis diserang dengan belalang dan ulat seribu yang memakan daun-daun muda tetapi kini ia nampak elok tumbuh malah semakin subur dan berdaun cantik. Cumanya pokok brokoli ungu ini sudah berusia 3 bulan lebih tetapi belum menunjukkan tanda-tanda berbunga. Adakah pokok brokoli ungu lambat menghasilkan bunga ungunya? Kita tunggu saja perkembangannya akan datang.

Tanomkinotuan mencabut beberapa pokok sawi putih taiwan untuk sayur malam ini. Sawi putih taiwan juga dikenali di negara barat sebagai chinese cabbage (brassica rapa) yakni kobis tidak membulat atau non-heading. Tapi bagi tanonkinotuan pendapat itu agak jauh jika dibandingkan dengan ciri, bentuk serta daun antara keduanya walaupun tanomkinotuan bersetuju keduanya adalah dari kumpulan atau keluarga yang sama, buktinya benih dan daun cambahan adalah sama.

Selain mencabut sawi putih taiwan ini, petang tadi emak tanomkinotuan telah memetik pucuk cekur manis atau sayur manis yang telah merimbun dengan banyaknya. Walaupun telah dilitupi rumput rumpai jenis menjalar pokok cekur manis masih bertahan dan tumbuh dengan baik. Sayur kangkung juga tidak luak hingga kini malah pucuk-pucuk muda tumbuh dengan baik di KBR.  Bulan Januari ini memang melimpah ruah rezeki pasal sayuran. Ini belum dikira lagi sayuran yang ditanam di Kebun Getah (KG). Syukur alhamdullilah kepada Allah semester alam yang melimbahkan rezeki kepada keluarga tanomkinotuan dengan sayuran tanam sendiri. 

Petang tadi juga tanomkinotuan menanam anak benih pokok sawi tatsoi yang dicambahkan di dalam cup bekas puding yang dibeli dari kawan. Tanomkinotuan juga menyemai benih komatsuna hijau tetapi mati kesemuanya akibat bekas semaian dijadikan sarang oleh semut hitam. Akan diusahakan lagi untuk menyemai benih komatsuna pada masa akan datang.

Selamat bertani dan menuai hasil. 

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top