Halia adalah tumbuhan herba yang sering digunakan dalam masakan berasaskan sup mahu pun tumis. Ia memberikan aroma yang sedap selain mengubah rasa kepada rasa pedas dan lidas. Nama saintifik bagi halia ialah zingiber officinale dan ia dikenali sebagai ginger dalam bahasa English. Halia berasal dari negara China dan menyebar keseluruh dunia. Antara negara-negara pengeluar halia utama dunia ialah India, China, Nigeria, Australia dan Thailand.

Berikut adalah cara dan panduan menanam pokok halia secara kecil-kecilan yang boleh dilakukan dihalaman rumah atau pun di kebun. Cara dan panduan ini lazimnya adalah penanaman halia di atas tanah.

PEMILIHAN LOKASI MENANAM

Pilih kawasan yang yang luas dan sinaran matahari melebihi 6 jam, tanah tidak ditakungi air dan bukan berdekatan dengan pokok besar. Halia akan layu dan mati jika tanah ditakungi oleh air manakala akar kayu akan menggangu pertumbuhan pokok halia disamping teduhan berterusan oleh rimbunan pokok tebal akan merenjatkan pertumbuhan pokok halia. 

Seelok-eloknya lokasi dipilih pada kawasan yang disinari cahaya matahari dari pagi hingga petang. Sekiranya anda ingin menanamnya dalam pasu letak pasu tersebut pada lokasi yang terkena cahaya matahari di waktu pagi hingga petang. Pokok halia memerlukan cahaya matahari penuh untukbpertumbuhan yang baik. 

CARA MENCAMBAHKAN RIZOM HALIA

Halia ditanam menggunakan rezom atau umbisinya yang mengeluarkan tunas di celah-celah isinya. Anda harus menunggu rizom halia bertunas terlebih dahulu sebelum ditanam, caranya ialah ambil rizom halia yang mahu ditanam. Masukkan ke dalam bekas seperti plastik atau kotak dan sembur atau siram dengan sedikit air. Tutup bekas plastik atau kotak dan simpan ditempat teduh dan selamat. Jika menggunakan bekas plastik tebuk bawah plastik atau kotak kertas tersebut agar air mudah mengalir keluar dan pengudaraan boleh keluar masuk. Tunggu 2 hingga 3 minggu sehingga tunas muncul.  

Anda juga boleh menanam terus rizom halia ke tanah tetapi mengambil masa agak lama untuk mengeluarkan tunas yang baru. Jika halia anda sudah bertunas patah-patahkan rizom dengan 1 atau 2 tunas untuk 1 bahagian agar anda boleh menanam halia tersebut dengan banyak. Jika menanam dalam pasu, satu bahagian tunas adalah untuk satu pasu. Selalu melihat halia yang disimpan untuk melihat kondisi halia anda. Jika terlebih air dalam bekas rizom halia mudah reput manakala terlalu kering pula halia anda mengecut dan mati.

PENGEMBURAN TANAH DAN BATAS

Setelah lokasi sudah dipilih, gembur tanah dan sebaik-baiknya buat batas untuk penanaman halia. Gembur hingga tanah menjadi peroi. Segala bendasing dibuang seperti akar, batu, daun kering dan sebagainya. Pastikan batas anda bebas bendasing yang boleh menjejaskan pergerakan akar dan pertumbuhan pokok halia. Tabur kompos pada batas sebanyak 2 genggam bagi 1 kaki persegi, gaul hingga merata. 

Jika tanah anda mempunyai nilai PH di bawah 5.5, tabur serbuk kapur sebanyak 1 genggam bagi 3 kaki persegi. Ini kerana pokok halia tumbuh dengan baik pada tanah bernilai PH 5.5 hingga 6.5. Cara mengetahui PH tanah anda adalah menggunakan penyukat nilai PH tanah yang boleh dibeli di kedai berhampiran. Anda juga boleh membubuh tinja binatang reput sebagai tambahan nutrisi. Seelok-eloknya dedahkan tanah tersebut pada sinaran matahari terik agar mikrob jahat dapat dihapuskan. 

Jika anda ingin menanam di dalam pasu, sediakan media campuran dengan nisbah 2:1:1 yakni 2 bahagian tanah hitam, 1 bahagian kompos dan 1 bahagian pasir sungai. Gaul hingga sekata dan masukkan ke dalam bekas yang digunakan. Anda juga boleh menggunakan cocopeat sebagai media tanaman halia.

MENANAM RIZOM HALIA

Apabila halia anda sudah bertunas dan batas sudah disiapkan, maka anda sudah boleh menanam halia anda. Patahkan kira-kira 2 inci bagi 1 tunas atau 2 tunas untuk satu bahagian. Buat lubang sedalam 2 inci setengah atau 3 inci dengan jarak lubang adalah 3 kaki hingga 3 kaki setengah. Tanam 1 bahagian rizom halia ke dalam lubang dan timbus dengan tanah. Siram pokok halia anda dengan air secukupnya. 

Bagi menanam dalam pasu pula tanam rizom halia sedalam 3 inci ke dalam pasu dan timbus dengan tanah. Jangan lupa siram.

Rizom halia mengambil kira-kira 7 hari hingga 14 hari untuk bercambah. Jadi anda perlu sabar sekiranya menanam halia. Apabila tunas pertama muncul halia cepat membesar dan batang pokoknya mula membanyak.

PEMBAJAAN POKOK HALIA

Setelah pokok halia berusia 1 bulan dari tunas pertama muncul, bubuh baja NPK organik di sekeliling pokok setelah membuat pengemburan tanah. Disusuli baja kompos dan bone meal selepas 3 minggu dibubuh baja NPK organik. Ulang pembajaan dengan NPK organik pada bulan ke-4 dan disusuli dengan kompos dan bone meal pada minggu ke-4 setelah pembajaan baja NPK organik. Anda boleh membuat timbunan tanah pada pangkal pokok halia untuk memperbanyakkan isinya dan tunasnya. 

PENJAGAAN DAN PENYIRAMAN POKOK HALIA

Halia perlu dijaga sebaiknya, cabut rumput rumpai yang tumbuh pada batas. Ini dapat mengurangkan persaingan mendapatkan makanan. Gembur-gemburkan tanah disekeliling pokok halia dan berhati-hati bila mengembur tanah jangan terkena pada akarnya. Lakukan penyiraman dua kali sehari ketika musim kemarau dan tidak perlu ketika hujan. Untuk mendapatkan hasil pokok halia tumbuh dengan baik, anda boleh menyiramnya dengan kompos teh atau baja cecair ikan organik (fish emulsion organic fertilizer) selang dua minggu.

MENUAI HASIL HALIA

Pokok halia sudah boleh dituai genap 9 bulan. Cara mengetahui pokok halia sudah boleh dituai ialah melihat daun-daun yang sudah mula mengering. Itu tandanya pokok halia sudah matang. Cabut pokok halia dengan mengorek tanah dengan menggunakan alat pengorek yang sesuai. Leraikan tanah yang masih melekat pada rizom halia dan bersihkan dengan air bagi membersihkan umbisi halia dari tanah. Potong batang pokok halia tersebut dan simpan ditempat selamat. Anda sudah boleh menggunakannya dalam masakan.

Sekiranya anda mahu menggunakan halia muda, tuai pokok halia anda genap 6 bulan. Jika mahukan halia yang matang pula tuai setelah genap 9 bulan.

Selamat bertani dan menuai hasil.

0 komentar:

Posting Komentar

 
Top